Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang baru.
Perkara itu dinyatakan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Ahmad Fadil berkata, ia selepas Istana Negara menerima senarai calon perdana menteri daripada ketua-ketua parti politik.
Ia sebagai lanjutan proses temu duga Sultan Abdullah dengan semua anggota parlimen yang dibuat pada Selasa dan Rabu lalu.
“Setelah mendapat representasi daripada semua ketua parti politik yang mewakili parti masing-masing, serta ahli Dewan Rakyat yang bebas, pada hemat Seri Paduka Baginda, ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat ialah Tan Sri Mahiaddin Bin Md Yasin (Muhyiddin), Ahli Parlimen Pagoh.
“Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Tan Sri Mahiaddn Md Yasin (Muhyiddin) sebagai perdana menteri, selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Ahmad Fadil berkata majlis angkat sumpah akan diadakan di Istana Negara pada pukul 10.30 pagi esok (1 Mac).
“Seri Paduka Baginda bertitah bahawa proses pelantikan perdana menteri tidak boleh dilengah kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama.
“Seri Paduka Baginda bertitah bahawa ini adalah keputusan terbaik untuk semua dan Baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik ini berakhir,” katanya lagi.
Pelantikan itu dibuat tidak lama selepas Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beliau mempunyai sokongan anggota parlimen yang cukup untuk menubuhkan kerajaan.
Ia selepas PH mengisytiharkan sokongan kepadanya. Sokongan Warisan menyusul tidak lama kemudian.
Muhyiddin berusaha menguasai Bersatu tetapi beberapa anggota Parlimen parti itu kekal menyokong Mahathir.
Biodata Penuh PM ke-8
Nama: Tan Sri Muhyiddin Yassin
Isteri: Puan Sri Noorainee Abdul Rahman
Anak: 4 orang
Tempat lahir: Muar, Johor
Ahli Parlimen Pagoh, Johor sejak 1978
10 April 2009 – 11 Ogos 2013 – Menteri Pelajaran
26 Mac 2009 – 26 Februari 2016 – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional
26 Mac 2009 – 26 Februari 2016 – Timbalan Presiden UMNO
19 Mac 2008 – 9 April 2009 – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
27 Mac 2004 – 18 Mac 2008 – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
15 Disember 1999 – 26 Mac 2004 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
4 Mei 1995 – 14 Disember 1999 – Menteri Belia dan Sukan
* 1970 – Memulakan kerjaya sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Johor Darul Ta’zim (Bahagian Latihan dan Biasiswa)
* 1971 – Dilantik Bendahari UMNO Muar-Pagoh
* 1974 – Ketua Pemuda UMNO Pagoh/ Setiausaha pemuda UMNO Johor
* 1978 – Ahli Parlimen Pagoh.
* 1982 -Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh
* 1986 – Menteri Besar Johor ke-13
* 1985 – Ahli Majlis Tertinggi UMNO
* 1993 – Menang Naib Presiden UMNO
* 1996 – Gagal pertahankan jawatan Naib Presiden UMNO
* 2000 – Menang semula pemilihan Naib Presiden UMNO, undian ketiga tertinggi.
* 2009 – Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional
* 2016 – Digantung jawatan Timbalan Presiden UMNO berikutan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
* Jun 2016 – Dipecat sebagai Timbalan Presiden UMNO.
* September 2016 – Antara pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan dilantik sebagai Presiden.
* 13 Julai 2017 – dilantik sebagai Timbalan Presiden dalam struktur baharu Majlis Presiden Pakatan Harapan.
* 22 Ogos 2017 – Dilantik Pengerusi Pakatan Harapan Johor
* 29 Februari 2020 – Diumumkan sebagai Perdana Menteri kelapan
Be the first to comment on "Agong Lantik Muhyiddin sebagai PM"