Biodata Dan Latar Belakang Dr. Zulkifli Ternyata Bukan Biasa-Biasa Orangnya

Perlantikan Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri sebagai Menteri Agama yang diumumkan oleh perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam paling mencuri tumpuan.

Rata-rata bersetuju tidak kira penyokong kerajaan atau pembangkang, masing-masing berpendapat Dr. Zulkifli adalah individu tepat memegang jawatan itu.

Pendekatan beliau terutama dalam mendekati golongan belia dengan aktif di media sosial, rajin memuatnaik status pasal bola sepak dan meminati pasukan Liverpool ternyata disenangi ramai.

Dr. Zulkifli merupakan (bekas) Mufti Wilayah Persekutuan yang ketujuh.

Beliau dilahirkan pada 16 Januari 1969 di Kampung Gong Pauh, Kemaman, Terengganu. Beliau kini menetap di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan. Beliau telah mendirikan rumahtangga bersama Dr. Shereen bt. Mohd. Yunus dan dikurniakan 5 orang cahaya mata.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sek. Keb. Rengas Bekah, Kuala Terengganu, Terengganu. Di peringkat menengah, beliau menyambung pengajian di Sek. Men. Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang, Kuala Terengganu dan Sek. Men. Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk, Kuala Terengganu untuk aliran Thanawi.

Pada tahun 1989, beliau melanjutkan pengajiannya ke Universiti Islam Madinah dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Syariah.

Beliau kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat Sarjana di Universiti Ulum al-Islamiyyah wa al-Arabiyyah, Syria dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pengkhususan pengeluaran Fatwa.

Kehidupannya selama lebih 8 tahun di perantauan dimanfaatkan dengan mengikut pengajian talaqqi dengan banyak ulama’ di Timur Tengah antaranya ;

Syeikh Muhammad Ali al-Thani (Imam Masjid al-Nabawi)

Fath Al-Bari Syarah Sahih Al-Bukhari oleh Ibn Hajar al-Asqalani Jilid 12 dan 13.

Syarah Sahih Muslim oleh Imam Nawawi Jilid 1 – 4.

Tafsir Ibn Kathir (sebahagiannya)

Tafsir Fath Al-Qadir Oleh Al-Syaukani (sebahagiannya)

Syeikh Rusdi Bin Salim Qalam (Imam Masjid Abdullah Bin Rawahah, Damsyik, Syria)

Beliau juga merupakan bekas pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan kini merupakan penulis dan pendakwah bebas. Dalam masa yang sama beliau berpengalaman sebagai Ahli Panel Kajian Akidah dan Syariah, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM).

Dr. Zulkifli adalah Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu dan Negeri Sembilan selain terlibat sebagai penasihat syariah dalam beberapa institusi kewangan. Kini beliau banyak menulis dan menyampai kuliah dan ceramah sama ada di televisyen mahupun di seluruh Malaysia.

Kepakaran beliau adalah dalam Fiqh, Usul Fiqh, Fatwa, Tasawwuf, Fiqh Semasa (Kontemporari) dan Hadits.

Antara anugerah yang diperolehnya adalah Anugerah Tokoh Penulis Islam: Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kelantan Kali Kedua. 2010, Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1433 H/ 2012 M, Anugerah Tokoh Ilmuan Negeri Selangor 1433 H/2012M, Masjid Sultan Salehudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam

Selain itu beliau pemegang Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1435H Peringkat Negeri Terengganu. Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, Terengganu.

Beliau pernah menyandang beberapa jawatan antaranya Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ahli Majlis Fatwa Negeri Terengganu, Panel Kajian Syariah JAKIM, Panel Penasihat Ibadat Haji (TH-JAKIM), Penasihat Syariah Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Ahli Lembaga Pengarah, Pustaka Cahaya Kasturi Sdn. Bhd.

Minatnya yang sangat mendalam dalam penulisan buku telah membawa kepada penghasilan lebih 200 buah buku agama, jurnal, buku-buku terjemahan dan makalah dalam bidang akidah, fiqh, hadis dan tasawwuf.

Antara penulisannya yang terkenal adalah Ahasin al-Kalim Syarah Hikam Ibn Athai’illah al-Sakandary. Selain daripada menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan, beliau kini turut terlibat dalam rancangan Cinta Ilmu segmen Medan Fatwa yang dikeluarkan oleh TV al-Hijrah.

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Yang Baik-Baik Sahaja Dan Share Ya. Terima Kasih.

Sumber : fb Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Be the first to comment on "Biodata Dan Latar Belakang Dr. Zulkifli Ternyata Bukan Biasa-Biasa Orangnya"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*