Akhirnya Isteri Aliff Syukri, Datin Seri Nur Shahida Serahkan Pada Polis Ambil Tindakan Kalau Suaminya Bersalah



Isteri kepada usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid menyerahkan sepenuhnya kepada polis susulan dakwaan suami wanita itu dikaitkan dengan kejadian memukul anak angkat mereka berusia dua tahun.

“Kalau betul salah, biar polis ambil tindakan,” katanya

Bagaimanapun, Nur Shahida enggan mengulas lanjut isu yang membabitkan suaminya.

Nur Shahida yang kini menunaikan umrah bersama anaknya sejak 23 Februari lalu berkata, sebaik-baiknya biar perkara itu diselesaikan pihak berwajib.

“Saya tidak ada apa nak komen. Biar polis buat kerja mereka,” katanya ringkas.

Sementara itu, Aliff ketika dihubungi memohon doa yang terbaik buat dirinya.

“Doakan yang terbaik,” jawabnya ringkas.

Ditanya lanjut mengenai dakwaan yang timbul, Aliff menyerahkan segala siasatan kepada polis.

Malah, buat masa sekarang, Aliff memaklumkan dia dinasihatkan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan supaya tidak mengganggu siasatan polis.

“Saya minta maaf sebab tidak boleh bercakap lebih mengenai perkara ini kerana ia sudah menjadi kes polis.

“Biar mereka membuat siasatan. Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan lagi.

Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Aliff juga memohon masyarakat terutama warganet berhenti membuat sebarang spekulasi.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mangsa yang berusia dua tahun dipukul dengan menggunakan tangan dan kasut serta dicubit hingga meninggalkan kesan pada badannya.

Suspek dikatakan memukul mangsa yang menangis ketika dia sibuk merakam video untuk kandungan YouTube miliknya.

SUMBER: HARIAN METRO

Siasatan kes Aliff Syukri didakwa dera anak angkat selesai

Polis kini hanya menunggu laporan perubatan anak angkat usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri yang didakwa didera sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata siasatan berhubung kes itu termasuk proses merakam keterangan semua saksi, sudah selesai.

“Kertas siasatan akan diserahkan kepada DPP dalam masa terdekat. Kita hanya menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pencegahan Jenayah dan Mini Townhall ‘Malaysiaku Aman dan Selamat’ di Dewan Serbaguna SS 3/14, Petaling Jaya, dekat sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan usahawan kosmetik itu didakwa memukul dan mencubit kanak-kanak perempuan berusia dua tahun itu pada 28 Februari lalu sebelum pembantu rumahnya warga Indonesia membuat laporan polis keesokannya.

Aliff turut ditahan namun dibebaskan dengan jaminan polis, manakala anak angkatnya diserahkan kepada pembantu peribadinya untuk dijaga sementara atas nasihat pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Petaling Jaya.

Terdahulu dalam sesi soal jawab bersama penduduk, Arjunaidi berkata, penurunan kadar jenayah yang direkodkan di Selangor bagi tempoh 2018 hingga 2019 adalah hasil kerjasama polis dengan masyarakat.

“Dalam tempoh itu, penurunan kadar jenayah direkodkan di seluruh negeri ini adalah sebanyak 7.2 peratus. Kejayaan ini sebahagian daripada usaha dan peranan masyarakat yang bersama pihak polis membanteras jenayah,” katanya.

Mengenai tahap kesedaran masyarakat mengenai jenayah penipuan seperti Macau Scam dan Parcel Scam, beliau menjelaskan, polis akan cuba neningkatkan kempen kesedaran semua lapisan masyarakat.

“Kebanyakan masyarakat kita sedar dengan taktik penipuan sedemikian, namun banyak kes kerana mangsa cepat panik bila mendapat panggilan telefon daripada anggota sindiket penipuan sehingga mereka terlupa.

“Bila selesai semua transaksi, barulah mangsa tersedar menjadi mangsa penipuan,” katanya.

SUMBER: BHPLUS

Be the first to comment on "Akhirnya Isteri Aliff Syukri, Datin Seri Nur Shahida Serahkan Pada Polis Ambil Tindakan Kalau Suaminya Bersalah"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*