Tun Dr Mahathir Dipeluk Oleh Siti Hasmah Dengan Penuh Emosi



Tidak lagi menjadi perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad sebentar tadi mendapat dakapan erat dan lama daripada orang penting di belakang beliau selama ini – Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Dalam klip video pendek dimuat naik di Facebook ahli parlimen Langkawi itu, Siti Hasmah memeluk suaminya untuk beberapa ketika sambil aksi itu dirakam beberapa orang dekat dengan pasangan tersebut, termasuk anak mereka Marina Mahathir.

Seperti selalu Mahathir dilihat menunjukkan sikap sporting dengan membiarkan dirinya dipeluk Siti Hasmah walaupun sebelum itu beliau baru saja membuat kenyataan mengenai situasi semasa politik negara.

Konflik dalaman itu menyaksikan Muhyiddin Yassin akhirnya dilantik sebagai perdana menteri menggantikan Mahathir.

Aksi itu juga menyentuh perasaan ramai apabila Siti Hasmah kelihatan sebak dan pada satu ketika cuba menyembunyikan wajahnya di belakang Mahathir.

“Jangan malu-malu,” kata Siti Hasmah pada awalnya.

Mengiringi hantaran tersebut ialah pesanan ringkas daripada Mahathir: “Terima kasih semua.”

Pelantikan Muhyiddin ‘titik mula perjuangan suci murni’

Pelantikan Muhyiddin Yassin secara rasmi mengetuai pentadbiran kerajaan persekutuan pagi tadi disambut dengan gembira oleh PAS dan Umno.

Malah Umno menganggap ia sebagai detik permulaan untuk sebuah “perjuangan suci murni” untuk negara.

“Tahniah tan sri. Terima kasih sahabat-sahabat yang bersedia memikul amanah dan tanggungjawab untuk membela rakyat dan membangunkan negara.

“Hari ini bermulanya perjalanan panjang perjuangan suci murni untuk negara.

“Ia bukanlah mudah tetapi marilah bersama bergerak sebagai satu pasukan,” katanya Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan medianya mengiringi pelantikan Muhyiddin hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di Kuala Lumpur pada jam 10.33 pagi.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang merafak setinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agung Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang telah memperkenankan pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri ke-8.

“PAS juga mengucapkan setinggi tahniah kepada Muhyidin di atas pelantikan ini dan mendoakan agar sentiasa dikurniakan taufik dan hidayah-Nya bagi melaksanakan tanggungjawab yang amat berat ini.

“PAS menyeru semua rakyat Malaysia untuk menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong ini, seterusnya memperkukuhkan muafakat dan perpaduan kaum yang menjadi tonggak kepada kemakmuran negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Muhyiddin.

“PDRM merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikan sebagai perdana menteri kelapan.

“PDRM kekal komited memikul amanah yang dipertanggungjawabkan dalam menjaga keselamatan negara dan menjunjung kedaulatan undang-undang, demi kesejahteraan masyarakat serta negara di bawah kepimpinan perdana menteri,” katanya.

Sumber: MalaysiaKini

Be the first to comment on "Tun Dr Mahathir Dipeluk Oleh Siti Hasmah Dengan Penuh Emosi"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*