Johor Dapat Menteri Besar Yang Baru

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut Datuk Hasni Mohammad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-18 di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene di Johor Bahru hari ini.

Hasni, 61, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, dilantik sebagai menteri besar ke-18 berikutan penubuhan kerajaan Gabungan Baharu semalam, merangkumi Umno, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kerajaan terdahulu, Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR, DAP, Bersatu dan Amanah hilang majoriti selepas Bersatu bertindak keluar daripada pakatan itu Isnin lepas.

Laman Facebook Sultan Johor memaparkan beberapa gambar Hasni menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail.

Hasni menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal daripada Bersatu, yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-17 pada 14 April 2019.

Rabu lepas, Sultan Johor bertemu dengan 54 daripada 56 Adun Johor bagi mengetahui siapa pilihan menteri besar mereka ekoran keluarnya Bersatu daripada PH, sekali gus menjadikan Johor kerajaan tergantung.

Ini merupakan pelantikan Menteri Besar Johor yang ketiga dalam tempoh kurang tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.

Be the first to comment on "Johor Dapat Menteri Besar Yang Baru"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*