Enggan Mati Mengejut, Akhirnya Aliff Syukri Mohon Maaf. Ali Puteh Kata Pintu Rumah Sentiasa Terbuka


Enggan terus-menerus dipersalahkan Aliff Syukri hari ini tampil memohon maaf secara terbuka kepada pihak yang terjejas susulan sesi wawancara dilakukannya bersama balu Allahyarham Abam, Nor Hidayah Mohd Ali.

Meskipun kewajaran untuk berbuat demikian mengundang tanda-tanya pada usahawan produk kosmetik itu, akhirnya dia tetap akur demi menghentikan isu terbabit daripada terus berpanjangan.

“Sebenarnya, saya sendiri masih tertanya-tanya kenapa perlu minta maaf? Jangan salahkan saya atas kebenaran yang berlaku. Saya hanya jadi asbab mengapa perkara ni diketahui orang.

“Tapi tak mengapa. Biarlah berdamai, saya tak nak dipersalahkan sama seperti isu adik Balqis yang pernah terjadi sebelum ni. Saya nak tutup cerita sampai sini saja.

“Buat apa nak cari gaduh dengan orang, nanti mati mengejut. Ni dah nak dekat bulan puasa, biarlah saya mengalah. Jangan bercerita pasal saya, ceritalah pasal situasi dalam kerajaan sedang berlaku sekarang.

“Justeru, saya Aliff Syukri Kamarzaman mohon maaf. Saya tujukan kepada Ali Puteh, Nor Hidayah, keluarga mereka dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya yang bersetuju bertemu semua pihak bagi menjernihkan keadaan.

Aliff berkata demikian dalam satu sidang media khas yang diadakan di pejabatnya di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Ketika sidang media pada 21 Februari lalu, Ali menasihatkan jutawan itu agar bertaubat selain memohon maaf kepada ibunya kerana memecahkan hubungan silaturahim kedua-dua belah keluarga yang selama ini dipelihara dengan baik.

Terdahulu, Aliff menziarahi Nor Hidayah dan anaknya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey yang berusia sembilan bulan bertujuan untuk menghulurkan sumbangan selain mengetahui perkembangannya yang terkini.

Bagaimanapun, sesi wawancara berkenaan mengundang spekulasi nasib Nor Hidayah dan anaknya tidak terbela.

Sementara itu, mengulas mengenai kesesuaian soalan untuk diajukan pula, Aliff menegaskan bahawa kesemuanya sudah dimaklumkan terlebih awal kepada Nor Hidayah sebelum pertemuan tersebut berlangsung.

“Sumpah demi Allah, kalau tahu sampai gaduh, nangis-nangis, memang taklah. Kalau publisiti lagu ke drama ke tak apa. Kisah macam ni hanya mengaibkan saya saja.

“Sesi temubual itu dimuat naik di Facebook saya, bukan YouTube. Ramai orang salah tafsir kata saya nak buat keuntungan,” katanya.

Aliff berkata, dia mempunyai bukti bahawa Nor Hidayah dengan rela hati sudi berkongsi masalah yang sedang dialami.

“Sebenarnya tanpa paksaan pun Hidayah sendiri ingin bercerita. Dia yang cakap nak bercerita sebab tak ada orang nak wawancara dia.

“Saya ada bukti video lain (kandungan wawancara), hampir tiga jam, macam drama sinetron, tapi biarlah saya simpan sebab tak mahu keruhkan lagi keadaan.

“Tapi jika terpaksa baru saya muat naik ke media sosial bagi mengelakkan saya terus dipersalahkan,” katanya.

Pintu rumah Ali Puteh sentiasa terbuka buat Aliff

Pelawak Ali Putih berkata, usahawan Aliff Syukri Kamarzaman boleh datang ke rumahnya untuk meminta maaf pada bila-bila masa saja.

Ali berkata demikian susulan sidang media khas yang diadakan Aliff di Kota Damansara, Petaling Jaya hari ini.

Menurutnya, pintu rumahnya memang dibuka seluas-luasnya untuk Aliff sekiranya usahawan produk kosmetik itu diberikan hidayah untuk hadir dan memohon maaf dengan ikhlas.

“Semasa diadakan sidang media tempoh hari, saya sudah nyatakan saya memaafkan dan pada masa sama memohon maaf pada dia.

“Cuma, saya turut minta dia datang ke rumah berjumpa ibu, Sabariah Arshad pula untuk memohon maaf daripadanya. Ibu saya yang berusia 64 tahun ketika ini berkerusi roda, sukar untuk keluar rumah.

“Justeru, dia boleh datang pada bila-bila masa, tiada tarikh ditetapkan untuk Aliff berbuat demikian,” katanya kepada Malaysiakini sebentar tadi.

Pada sidang media tersebut, Aliff membuat permohonan maaf secara terbuka ditujukan kepada Ali, balu arwah pelawak Abam, iaitu Nor Hidayah Mohd Ali dan keluarga kedua-dua belah pihak susulan kontroversi dicetuskannya melalui sebuah sesi wawancara baru-baru ini.

Dia juga mendakwa, Nor Hidayah sebenarnya rela hati menceritakan kepayahannya untuk meneruskan kehidupannya satu per satu bersama anak Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey yang berusia sembilan bulan.

Terdahulu, isu berkaitan harta peninggalan allahyarham Abam tercetus apabila Ali didakwa merampas telefon genggam dan dompet arwah, selain membiarkan Nor Hidayah pergi ke klinik membawa anak sakit menaiki Grab.

Kesemua dakwaan ini dinafikan Ali dalam satu sidang media diadakan 21 Feb lalu bahkan dia menasihati Aliff untuk segera bertaubat kerana berjaya memecah-belahkan mereka sekeluarga.

Pada masa sama, tegas Ali, Aliff dilarang sama sekali untuk membuat sebarang sesi rakaman atau merakam secara langsung sewaktu sesi memohon maaf itu berlangsung kerana ia dikhuatiri bertujuan mendapatkan publisiti untuk mana-mana saluran media sosial miliknya.

“Saya tak akan benarkan kalau ada rakaman kerana tak mahu isu berpanjangan atau timbul masalah lain pula.

“Saya dah bagi peluang untuk dia berjumpa ibu secara tertutup, justeru gunalah peluang tu dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Be the first to comment on "Enggan Mati Mengejut, Akhirnya Aliff Syukri Mohon Maaf. Ali Puteh Kata Pintu Rumah Sentiasa Terbuka"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*